MADRID – Ejen bintang Real Madrid, Gereth Bale mengesahkan satu rundingan sedang berjalan untuk melihat potensi perpindahan pemain itu kembali ke kelab lamanya, Tottenham Hotspur.
Bale meninggalkan kelab London itu pada 2013 untuk menyertai La Liga dan membantu Real meraih empat kemenangan Liga Juara-Juara bersama gergasi Sepanyol itu.
Pemain sayap berkenaan berjaya menjaringkan 105 gol dalam 251 penampilan dan turut merangkul dua gelaran La Liga.
Bagaimanapun, masa depannya menjadi tidak menentu selepas kehadiran Zinedine Zidane sebagai jurulatih kelab itu termasuk hanya membuat 16 penampilan dalam semua kejohanan pada musim lalu.
Sebelum ini, Manchester United dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya tetapi ejenya, Jonathan Barnett mengesahkan bahawa Bale lebih berminat untuk kembali ke Spurs.
“Gereth masih sayangkan Spurs. Kami (Spurs, Real dan ejen Bale) masih mengadakan rundingan. Secara jelas, Spurs adalah destinasi yang diinginkan Bale,” katanya.
Biarpun jarang diturunkan oleh Real, khidmat Bale di dalam skuad Wales sangat diperlukan apabila dia berada dalam kesebelasan utama sejak hampir 10 tahun lalu dan telah menjaringkan 33 gol dalam 85 kaps.
Dia turut membantu Wales menang ke atas Finland dan Bulgaria pada aksi Liga Negara-Negara Eropah baru-baru ini.
– AGENSI