KEGAGALAN membawa pulang sebarang kemenangan pada Anugerah Grammy baru-baru ini sedikit pun tidak mencalarkan reputasi dan pengaruh besar BTS.
Terus gah memacu karier seni sebagai kumpulan paling popular ketika ini, ada catatan rekod baharu yang dipecahkan BTS.
Minggu lalu, penjualan album Gaon Physical mendedahkan kumpulan dianggotai tujuh jejaka kacak itu menjual lebih 800,000 unit album dalam masa tiga bulan pertama tahun ini.
Menerusi carta yang dikeluarkan, album-album lama BTS yang diluncurkan sejak beberapa tahun lalu masih laris di pasaran dan kekal mendapat permintaan tinggi daripada peminat.
Catatan tersebut merekodkan BTS berjaya menjual sebanyak 873,824 unit pelbagai keluaran album mereka dari tempoh Januari hingga Mac tahun ini.
Jika dikira sejak penjualan album pertama mereka pada 2013, kumpulan itu merekodkan jualan kumulatif sebanyak hampir 34 juta unit.
Pencapaian tersebut sekali gus membuatkan peminat teruja dan tidak menyangka album kumpulan itu masih mendapat permintaan tinggi meskipun mereka tidak meluncurkan sebarang muzik baharu pada tahun ini.