SHAH ALAM – Anggun Kirana Sdn. Bhd. (Anggun Kirana) pengeluar pelitup muka berjenama Himaya khusus untuk pelanggan bertudung, mengunjurkan perolehan jualan pada tahun ini meningkat sebanyak 50 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, KK Chua berkata, keyakinan ini bersandarkan kepada perolehan tahun lepas yang menggalakkan dan perluasan rangkaian pemasarannya.
Menurut beliau, keyakinan pelanggan turut meningkat terhadap pelitup muka keluaran syarikat yang bermutu, selesa, selamat dan kekal berfesyen untuk wanita berhijab.
“Pelitup muka yang ditawarkan mungkin harganya lebih mahal daripada produk pesaing tetapi pelanggan kami bersedia membeli produk bermutu tinggi untuk keselesaan dan keselamatan mereka.
“Pelanggan berpendapat harga sekeping pelitup muka tidak semahal harga jika dijangkiti virus Covid-19,” katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Chua menjelaskan, penguasaan pasaran bagi pelitup muka berjenama Himaya adalah sebanyak 45 peratus memandangkan segmen produk ini tidak memiliki persaingan yang meluas daripada syarikat lain.
Ini kerana mesin pembuatan untuk pelitup muka khusus bagi wanita sukar diperoleh dan rumit untuk dibangunkan oleh pengilang.
Tambah beliau, bersandarkan jenamanya yang semakin popular, Anggun Kirana mengeluarkan dua produk baharu setiap bulan yang dapat memberi pelbagai pilihan kepada pelanggan bersesuaian dengan perubahan gaya hidup semasa.
“Setiap produk baharu yang dilancarkan pastinya rekaan, fesyen dan kualitinya lebih baik daripada produk sedia ada. Ini penting, sekiranya kami lalai dalam aspek ini, pesaing akan mengambil alih segmen tersebut,” jelasnya.
Selain itu, Chua memaklumkan, sasaran perolehan jualan yang ditetapkan syarikat turut bergantung kepada perluasan rangkaian pasaran.
Produknya kini telah dipasarkan di 2,000 pelbagai rangkaian serta mengunjurkan bilangannya bertambah kepada 5,000 cawangan pada masa depan. -KOSMO! ONLINE