KAMPALA, UGANDA – Seorang lelaki di Uganda dilaporkan membunuh seekor singa dengan tangannya sendiri sebelum memasak daging binatang buas itu untuk dimakan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Beberapa keping gambar yang dikongsikan di laman Twitter menunjukkan sebuah lokasi dalam keadaan berselerak selepas menjadi tempat lelaki berkenaan dan singa itu bertarung. Pertarungan maut berlaku apabila ‘Raja Rimba’ itu menceroboh masuk ke dalam rumah lelaki tersebut.
Lelaki yang identitinya tidak didedahkan itu berada keadaan berdarah dan berbalut di serata bahagian badannya, dipercayai kesan serangan haiwan tersebut.
“Seorang lelaki dari daerah Iganga, timur Uganda merawat lukanya selepas bertarung dengan seekor singa yang ditemui dekat rumahnya. Dia membunuh singa itu,” tulis seorang pengguna Twitter, Ricky Kagino.
Lokasi kejadian bagaimanapun menjadi pertikaian kerana terdapat beberapa sumber online yang mendakwa, ia berlaku di daerah Mpefu Kagadi.
Seorang lagi penggun Twitter, Tewsige Judith kemudian memberikan komen dengan menyertakan lebih banyak gambar termasuk satu daripadanya memaparkan kulit singa itu telah disiat.
“Ia berlaku di daerah Mpefu Kagadi dan kami memakan singa itu,” katanya.
Kejadian itu bagaimanapun turut menerima kecaman daripada sebilangan pengguna laman sosial yang menyifatkan tindakan membunuh singa itu adalah tidak wajar.
“Banyak haiwan diancam kepupusan, jadi mana-mana haiwan yang berkeliaran perlu ditangkap hidup-hidup, dikembalikan ke hutan atau diberikan kepada pihak zoo,” kata seorang netizen. – AGENSI