KLANG – Ramadan yang dianggap bulan penuh rezeki direbut sebaiknya seorang jurukamera sambilan sebuah televisyen swasta dengan menjual ayam golek di Kampung Sungai Udang di sini.
Azhear Rani, 52, atau dikenali AG berkata, langkah itu juga sebagai menambah pendapatan selepas kekurangan tugasan sejak Covid-19 melanda negara ini.
Katanya, lokasi gerai berkenaan sebelum ini digunakannya bagi menjual ikan rebus, buah-buahan seperti durian dan duku langsat.
“Bulan puasa tugasan pun kurang dan mengambil keputusan menjual ayam golek bagi meraih pendapatan. Ini merupakan kali pertama saya menjual juadah tersebut,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya lagi, sambutan diterima amat menggalakkan dengan lebih 26 ekor berjaya dijual setakat ini pada harga RM20 seekor.
Ujarnya, bahan rempah yang dijadikan perencah perapan akan dibuat sejam sebelum aktiviti memasak dilakukannya.
“Bagi saya setiap orang ada rezeki masing-masing yang sudah tertulis dan Alhamdulillah, jualan mendapat sambutan walaupun buat pertama kali,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE