Oleh SOFIAN BAHAROM
PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di Klang, Selangor pada 7 April lalu.
KPDNHEP dalam satu kenyataan menyebut, serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 10 malam oleh sepasukan anggota penguat kuasa dari KPDNHEP Putrajaya adalah hasil risikan yang telah dilakukan sejak beberapa minggu yang lalu.
KPDNHEP dalam satu kenyataan berkata, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak diesel berjumlah RM250 di dalam tangki simpanan di stesen minyak berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, pemandu lori terbabit telah membuat bayaran berjumlah RM1,000 bagi pengisian tersebut secara tunai di stesen minyak terbabit.
“Hasil Pemeriksaan lanjut mendapati dua ‘compartment’ tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 5,000 liter,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, minyak diesel, lori tangki, satu set dekoder televisyen litar tertutup (CCTV) dan invois atau resit jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan telah disita bagi tujuan siasatan.
Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM74,862.50.
Jelasnya, seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun yang mengaku sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE