PETALING JAYA – “Alhamdulillah day 5 (hari kelima) adik dah borak.”
Demikian luah pelakon Amyra Rosli memaklumkan kesihatan anaknya, Ayra Aryssa yang diserang penyakit Kawasaki kini semakin stabil, namun masih dalam pemantauan doktor.
Katanya, walaupun tahap oksigen semakin baik dan menunjukkan peningkatan, pemberian ubat untuk permata hatinya yang baharu berusia dua tahun itu tetap diteruskan.
“Aryssa masih lagi dipantau tahap oksigennya. Tapi, alhamdulillah, oksigen Aryssa dah semakin stabil dan masih lagi dengan ubat-ubat yang dimasukkan menerusi kaedah drip.
“Banyak sangat ubat dah masuk dalam badan dia selama empat hari ini. Saya sendiri tak sanggup tengok dia telan ubat, dimasukkan ubat di sini dan jalani ujian darah setiap hari.
“Nak buang air besar pun kena pam ubat,” kata ibu kepada dua cahayamata itu menerusi perkongsian dalam Insta Story.
Biar berdepan dugaan yang menyentuh naluri keibuannya, Amyra menganggap semua yang berlaku sebagai ujian daripada Allah selain mempunyai hikmah tersendiri.
“Ini ujian yang saya kena lalui. Anak kecil yang tak tahu apa-apa, dan tak fasih bercakap apa-apa lagi kena jangkitan Kawasaki yang sangat teruk.
“Tapi, saya percaya, Allah akan berikan kesembuhan kepada dia dan terima kasih kepada kalian yang tidak henti berdoa serta kongsikan pelbagai cara ikhtiar,” katanya lagi.
Malam tadi, Amyra melalui detik cemas dipanggil ke ke hospital selepas berikutan paras oksigen Aryssa yang dilaporkan turun mendadak.
Amyra yang ketika itu sedang menjalani penggambaran sebuah drama terus bergegas menuju ke hospital untuk bersama anaknya itu.
“Berderau darah mommy dapat ‘call’ oksigen adik (Aryssa) menurun. Tunggu mommy sampai sayang” tulisnya di Instagram.
Terdahulu, anak kecil tersebut dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sejak Selasa minggu lalu selepas mengalami demam panas dengan suhu badan tinggi.
Dia turut menyatakan sehari kemudian gejala ruam pula timbul dengan kesan tompokan merah di keseluruhan badan anaknya termasuk pada bahagian telinga.
Aktres berusia 30 tahun itu juga turut berkongsi gambar wajah Aryssa yang membengkak akibat kesan pengambilan steroid.
Penyakit Kawasaki atau dikenali sebagai sindrom nodus limfa adalah keradangan saluran darah (vaskulitis) yang membabitkan kanak-kanak terutama di bawah umur lima tahun.
Selain Aryssa, rumahtangga bintang Jangan Menangis Cinta itu bersama aktor, Amar Baharin yang dibina sejak 2016 turut diserikan kehadiran putera, Aqeef Anaqi Amar, 4 tahun.