PETALING JAYA – Dalam menjalin perhubungan cinta, perkara yang paling ditakuti apabila pasangan curang secara diam-diam dengan individu lain.
Terbaharu, tular sebuah video di aplikasi TikTok memaparkan seorang pemuda ‘mengantoikan’ seorang gadis dipercayai kekasihnya yang keluar bersama lelaki lain.
Menerusi video yang dikongsikan Muhammad Ezalee, dia sempat merakam pergerakan sebuah kenderaan yang dinaiki oleh pasangan itu serta mengekori mereka.
“Untuk yang lain, jangan pernah percaya wanita walau baik itu semua hanya untuk menutup kesilapan mereka,” tulisnya.
Ketika menghampiri kenderaan jenis Perodua Myvi terbabit, si gadis bagaimanapun seolah-olah mempersoalkan kehadiran serta tindakan pemuda berkenaan menahan mereka secara tiba-tiba.
Sementara itu, pemuda tersebut meminta mereka berdua keluar dari kereta namun enggan berbuat demikian sehingga bertindak melanggarnya.
Kemudian, berlaku pertelingkahan antara pemuda tersebut bersama kekasihnya sehingga gadis berkenaan meminta untuk putus serta-merta.
“Aku nak putus,” kata gadis itu dengan tegas.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berpendapat agar tidak terus bertahan pada pasangan yang tidak bersikap setia dan mereka turut mendoakan agar pemuda itu bertemu dengan pengganti yang lebih baik.
“Kalau dia dah curang, dia bukan nak pada kita, terus tinggalkan tanpa beri sebarang peluang akan datang, moga jumpa orang baru yang lebih baik,” pesan Syazmin. – KOSMO! ONLINE