fbpx

Simpanan Tabung Haji RM40,000 lesap dikebas Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Seorang pengurus lombong bijih berputih mata selepas wang simpanan Tabung Haji miliknya sebanyak RM40,000 dikebas sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan polis semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari selepas mangsa yang berusia 36 tahun memindahkan wang dalam akaun Tabung Haji miliknya ke dalam akaun sebuah bank yang juga baru dibuka semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai pegawai LHDN semasa berada di tempat kerjanya di sebuah lombong bahan mineral di Felda Aring 5, Gua Musang kira-kira pukul 5.20 petang, Sabtu lalu.

Menurutnya, individu itu memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM98,000 sebelum menyambungkan talian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Menerusi perbualan dengan individu yang mendakwa dari IPK itu, suspek turut memaklumkan bahawa mangsa juga terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan jenayah dadah.

“Mangsa kemudian diminta untuk membuka satu akaun bank yang baharu kononnya bagi menjalankan siasatan ke atas semua wang milik lelaki itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian telah membuka akaun sebuah bank di Gua Musang semalam sebelum memasukkan wang simpanan Tabung Haji miliknya sebanyak RM40,000 ke dalam akaun bank baharu itu.

Katanya, selepas berbuat demikian, suspek telah memberikan satu pautan ke aplikasi BNM Version 1 untuk mengisi maklumat dan pengenalan dirinya selain memaklumkan mangsa boleh mengambil kembali wang tersebut selepas siasatan yang dijalankan selama tiga hari.

Ujarnya, selepas sejam, mangsa berasa curiga dengan perkara itu lalu menghubungi pusat khidmat pelanggan bank tersebut yang memaklumkan bahawa baki dalam akaunnya hanya tinggal RM100. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI