ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya mampu menang tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot liga, Terengganu FC dalam perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.
Kedua-dua jaringan JDT disumbangkan pemain import, Bergson Da Silva, masing-masing pada separuh masa pertama perlawanan, manakala gol Terengganu disumbangkan Kpah Sherman, juga pada separuh masa pertama.
JDT terus mengasak lawan sebaik sahaja perlawanan bermula dan berhasil mendapatkan jaringan pertama pada minit ke-7 menerusi tandukan Bergson Da Silva yang gagal ditangkap penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.
Walaupun bola dan rentak permainan terus dikawal JDT, namun Terengganu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-31 selepas Kpah Sherman berjaya memanfaatkan kegagalan Farizal Marlias menangkap kemas percubaan Manuel Gelito Ott.
Harimau Selatan bagaimanapun tidak mudah goyah dengan jaringan penyamaan Terengganu apabila hanya dua minit selepas itu, Da Silva berjaya menyudahkan hantaran kemas Arif Aiman menjadikan kedudukan 2-1, kembali memihak kepada tuan rumah.
Terengganu berpeluang untuk sekali lagi menyamakan kedudukan namun rembatan Sherman pada minit ke-40 bagaimanapun hanya menggegarkan gawang tuan rumah. – KOSMO! ONLINE.