KUANTAN – Kehilangan kucing dalam kuantiti yang banyak yang dipercayai untuk dijadikan hidangan oleh warga asing didakwa berlaku secara berleluasa bukan sahaja di Temerloh tetapi di sekitar daerah ini.
Pengerusi Kelab Sahabat Kucing Jalanan Pahang, Jurina Abdul Rani berkata, pihaknya banyak menerima aduan mengenai isu berkenaan daripada orang ramai, namun tidak mempunyai bukti yang cukup untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa.
“Kucing-kucing jalanan yang kami beri makan setiap hari di beberapa kawasan semakin berkurangan. Jika ada kucing baru dibuang, ia akan hilang selepas beberapa hari.
“Kami berharap pihak berkuasa boleh memasang kamera litar tertutup di kawasan tertentu yang bukan sahaja dapat mengenal pasti individu yang menangkap dan menganiaya haiwan berkenaan tetapi mereka yang membuang kucing,” katanya kepada Kosmo!.
Semalam Kosmo! Ahad melaporkan mengenai keresahan penduduk dan peniaga Pasar Besar Temerloh mengenai kehilangan kucing dalam kuantiti yang banyak kerana mengesyaki haiwan itu menjadi hidangan oleh warga asing.
Peniaga mendakwa pernah terserempak dengan beberapa warga asing yang menangkap sebelum memukul kepala haiwan tersebut dengan kayu lalu dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke lokasi tertentu untuk dilapah serta dimakan.
Lebih menguatkan dakwaan apabila sebahagian makanan untuk kucing terbiar langsung tidak diusik sedangkan kawasan itu menjadi tumpuan haiwan berkenaan berkumpul.
Menurut Jurina, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera dalam isu yang menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat ini agar kucing-kucing ini tidak terus teraniaya.
Tambahnya, kelab pernah memohon agar pihak berkenaan khususnya Jabatan Veterinar mengetatkan undang-undang sedia ada tetapi tiada tindakan lanjut.
Sementara itu, pencinta kucing, Che Wan Nornajiha Che Wan Rozali, 27, melahirkan rasa geram dan sedih dengan tindakan kejam segelintir warga asing itu.
Katanya, dia pernah mendengar mengenai perbuatan tidak berperikemanusiaan itu berlaku di sebuah kawasan perumahan di Balok dekat sini ketika bekerja di sebuah pasar mini.
Katanya, penduduk memaklumkan ada warga asing yang menjadikan kucing sebagai makanan hingga mengakibatkan kekecohan dalam kalangan penduduk.
“Banyak kucing hilang dan apabila dicari hanya bulu haiwan itu sahaja ditemui. Ia kejadian lama dan kalau tak silap kes itu sudah diselesaikan oleh pihak berkuasa dan penduduk.
“Bila dapat tahu ia berlaku di Temerloh, saya rasa sedih, sakit hati dan marah apabila mengenangkan nasib kucing-kucing yang hilang itu,” katanya.