LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Antonio Conte sedar bahawa kualiti yang dimiliki oleh penyerangnya, Harry Kane bukanlah sekadar penggempur berbisa tetapi dia juga mempunyai naluri pengumpan yang baik.
Visi dan kualiti hantaran yang dipersembahkan ketika Spurs mencatat kemenangan 4-0 ke atas Aston Villa awal pagi semalam menyaksikan Kane berjaya melakukan tiga umpanan gol untuk Son Heung-min yang turut meledak hatrik serta satu gol jaringan Dejan Kulusevski.
Kemenangan tersebut cukup signifkan buat Spurs yang kini berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di kedudukan keempat dan berpeluang cerah untuk beraksi di pentas Liga Juara-Juara musim depan.
“Harry dilahirkan sebagai penyerang, tetapi dia memiliki bakat dan kualiti untuk bermain sebagai pemain pengumpan, namun saya masih gemar untuk menyaksikannya sebagai penyerang.
“Jujurnya, saya lebih suka dia bermain sebagai nombor 9 kerana dia memiliki potensi itu. Adakalanya dia mencipta ruang kepada Sonny (Heung-min), Lucas Moura and Steven Bergwijn dan Kulusevski. Menjadi sesuatu yang penting buat kami memilikinya dalam dua pilihan serta kelebihan berbeza.
“Dalam bola sepak moden, mana-mana pasukan yang tampil berbeza dalam setiap perlawanan dan tidak boleh diramal memiliki kelebihan untuk berjaya,” katanya.
Dalam pada itu, bekas pemain sayap Spurs, David Ginola turut senada dengan Conte dan melabel Kane sebagai jelmaan Diego Maradona kerana kebolehannya meledak jaringan serta melakukan umpanan gol. – AGENSI