PARIS – Penyerang sensasi Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe mengakui sedikit ralat apabila dia baharu mula mendapat keserasian dengan Neymar dan Lionel Messi selepas membantu pasukan merekodkan kemenangan bergaya 6-1 ke atas Clermont pada aksi Ligue 1 awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Mbappe dan Neymar masing-masing berjaya meledak hatrik untuk memastikan pasukan kekal berada di kedudukan pendahulu dengan kelebihan 15 mata selepas mengharungi 31 perlawanan.
Jaringan hatrik yang dilakukan oleh Mbappe dan Neymar adalah ulangan apa dilakukan sebelum ini oleh gandingan Mbappe dan Edinson Cavani yang buat kali pertama menjadi rakan sepasukan yang meledak hatrik dalam satu perlawanan pada 2019.
Mbappe yang kontraknya bersama PSG akan berakhir pada penghujung musim ini mengakui dirinya termasuk Messi dan Neymar sememangnya berusaha keras untuk membantu pasukan membolot semua trofi tetapi hasrat tersebut tidak kesampaian.
“Saya agak kecewa apabila keserasian antara kami bertiga hanya dapat dilihat pada beberapa perlawanan terakhir dan mungkin ada sebab-sebab yang tidak boleh didedahkan menjadi punca ia berlaku.
“Jika diikutkan dengan kualiti yang kami miliki, sepatutnya tidak menjadi masalah untuk membantu pasukan mencapai sasaran yang ditetapkan tetapi sayangnya ia tidak menjadi kenyataan dan kita akan fokus pada baki saingan liga sahaja ketika ini.
“Secara jujur, inilah lumrah bola sepak, ada ketika anda menang, ada masanya pasti tewas. Apa yang pasti, kekecewaan tersingkir daripada kempen Liga Juara-Juara dan Piala Perancis sudah dilupakan sepenuhnya,” katanya. – AGENSI