PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan situasi cemas apabila kaki kanannya tersepit pada eskalator di pusat beli-belah IOI City Mall di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.48 petang itu, mangsa dipercayai bersama ibu bapanya dikatakan sedang turun dari tingkat dua pusat beli-belah itu dengan menggunakan eskalator sebelum kaki tersangkut.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Cyberjaya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 1.48 petang sebelum tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.01 petang bersama dua pegawai dan lima anggota.
Menurutnya, sejurus tiba, pihaknya mendapati kaki kanak-kanak itu tersangkut pada eskalator berkenaan.
“Kaki mangsa berjaya dikeluarkan dan mangsa kemudiannya diserahkan kepada Hospital Sedang untuk rawatan selanjutnya.
“Tidak dapat dipastikan bentuk kecederaan dialami mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE