PETALING JAYA – Penyanyi dangdut terkenal Mas Idayu mengesahkan bakal menamatkan zaman janda dengan lelaki pilihan yang juga penerbit eksekutif sebuah stesen televisyen, Sufian Isa, September depan.
Mas Idayu atau nama sebenarnya Mas Idayu Mesnun, 50, berkata, hubungan mereka mula rapat sejak beberapa bulan lalu meski sudah saling mengenali ketika program Mentor 3 pada 2008.
“Sejujurnya saya sendiri tidak menjangka akan melalui fasa ini (pernikahan) sekali lagi. Apatah lagi selepas 15 tahun hidup sendiri.
“Cuma dua tahun kebelakangan ini saya memang berdoa agar dipertemukan jodoh yang baik dan boleh menerima saya serta anak seadanya.
“Dalam diam siapa sangka jodoh saya dalam kalangan orang yang selalu bekerjasama. Daripada sekadar hanya usikan rakan-rakan pada program Lagu Cinta Kita tahun lepas, terus membawa kepada hubungan yang serius,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu hit Robek Hatiku itu memberitahu, Sufian sebelum ini sudah pun bertemu dengan kakak sulungnya dan menyampaikan hasrat hati untuk memperisterikan dirinya.
“Tidak ada istilah dia melamar saya pun. Kami masing-masing faham isi hati. Dia terus cakap nak jumpa keluarga saya yang kebetulan datang dari kampung.
“Tentu saja saya gembira. Bukan kerana nak kahwin, tetapi lebih kepada saya dipertemukan dengan lelaki yang boleh menjaga saya dan anak nanti.
“Kalau bercakap soal persiapan, sekarang ini baru 30 peratus siap. Tempat pula kami sudah ada beberapa lokasi, tinggal nak pilih saja,” katanya.
Terdahulu, Mas Idayu pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Aman Graseka pada 1997 dan bercerai sembilan tahun selepas itu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Nur Dayini Asyiqa yang kini berusia 25 tahun. – KOSMO! ONLINE