PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah dilihat tidak sabar untuk memulakan debut pertamanya di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bermula kelmarin di Litar MotorLand Aragon, Sepanyol selepas menamatkan sesi ujian pramusim dengan langkah positif.
Bekas pelumba Moto2 dan MotoGP tersebut akan beraksi dalam kelas WorldSBK mahu menggunakan segala pengalaman terbaiknya untuk mengutip mata berharga bersama pasukan Mie Racing Honda.
Menjelang saingan pada hari ini nanti, Hafizh akan menggunakan jentera CBR1000RR-R FIREBLADE.
“Di Aragon kami telah menguji beberapa komponen tambahan dan meneruskan mencari pelarasan terbaik dengan jentera baharu ini dan juga kategori baharu.
“Apa pun, saya sangat gembira dengan pasukan terutama dengan cara kami berusaha untuk menambah baik setiap kali keluar dari garaj pada sesi ujian pramusim di Aragon.
“Sudah tentu kami memerlukan lebih banyak kilometer pada jentera sebelum kami dapat memahami sepenuhnya mengenai elektronik dan tayar.
“Kerana pada masa ini kami tidak mempunyai banyak data untuk dibandingkan. Secara keseluruhan, saya gembira dengan sesi ujian selama dua hari ini.
“Perlumbaan pertama pastinya akan menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran saya. Ia baru permulaan tetapi saya tidak sabar meningkatkan lagi prestasi dan memberikan segala yang saya ada dalam perlumbaan sebenar,” katanya.
Pada sesi ujian rasmi selama dua hari tersebut Hafizh dilihat mengambil masa untuk memahami karakter jentera dan menampil tunggangan positif selepas mencatat masa terpantas satu minit 52.312 saat (s) untuk berada di kedudukan ke-22 daripada 25 pelumba.
Dia ketinggalan 3.598s berbanding juara dunia enam kali WorldSBK, Jonathan Rea dari pasukan Kawasaki Racing Team WorldSBK yang mencatat masa terpantas 1:48.714s.