MERSING – Penyelam remaja warga negara Belanda, Nathan Renze Chesters, 14, yang hilang ketika menyelam di Pulau Tokong Sanggol di sini disahkan telah meninggal dunia.
Perkara itu disahkan oleh bapanya, Adrian Chesters, 46, yang berjaya diselamatkan nelayan Indonesia pagi tadi.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, remaja itu meninggal dunia akibat tidak dapat bertahan di lautan.
Warga Norway, Kristine Grodem, 35, Alexia Molina, 18, warga Perancis dan Adrian, warga Britain ditemui selamat.
“Nathan masih belum ditemui namun telah disahkan meninggal dunia oleh bapanya akibat terlalu lemah dan tidak dapat bertahan di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, susulan itu Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa Indonesia bagi membantu mencari mangsa yang dipercayai hanyut ke perairan Indonesia.
Berita berkaitan: Dua lagi penyelam ditemui selamat
Terdahulu, empat penyelam tersebut dilapor hilang pada Rabu lalu ketika menyelam bagi mendapatkan lesen selam dan tidak timbul semula ke permukaan selepas kira-kira satu jam melakukan aktiviti berkenaan di sekitar perairan Pulau Tokong Sanggol.
Nurul Hizam berkata pihak MRSC Johor Bahru turut mengucapkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi dan pihak terlibat sepanjang Op Carilamat berlangsung.- KOSMO! ONLINE