fbpx

Naik turun pejabat menteri, masalah rumah tak selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN daripada 120 pembeli Fasa 3, Taman Sri Purnama melakukan demonstrasi aman di hadapan tapak pembinaan di Marang semalam.

MARANG – Seramai 120 pembeli projek perumahan Fasa 3, Taman Sri Purnama, di sini merayu campur tangan kerajaan negeri Terengganu bagi menyelesaikan isu perumahan mereka yang telah terbengkalai sejak empat tahun lalu.

Wakil pembeli, Abdul Halim Mohamed, 33, mendakwa, mereka membeli rumah teres kos rendah itu pada harga antara RM73,000 hingga RM145,000 pada tahun 2016.

“Kami dijanjikan boleh memasuki rumah dalam tempoh dua tahun, tetapi syarikat pemaju menghentikan kerja-kerja pembinaan dengan alasan menghadapi masalah kewangan.

“Banyak kali kami turun naik pejabat agensi berkenaan termasuk pejabat Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar) dan Ahli Parlimen Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang) untuk mendapatkan pembelaan,” dakwanya ketika ditemui bersama pembeli-pembeli lain di tapak pembinaan taman perumahan tersebut semalam.

Abdul Halim berkata, mereka juga sedih apabila mendapati kebanyakan rumah yang terbengkalai itu telah mengalami banyak kerosakan.

“Tambah merisaukan saya berlaku hakisan sehingga membentuk anak sungai di tengah-tengah tapak projek pembinaan tersebut,” katanya.

Seorang pembeli, Wan Mohd. Syukri Wan Kasmawi, 36, mendakwa, dia dan rakan-rakan yang senasib dalam isu itu amat terbeban kerana sudah mula membayar ansuran bulanan pembiayaan bank.

“Saya merayu belas ihsan kerajaan negeri Terengganu agar dapat membantu kami yang amat terkesan dengan masalah ini,” katanya.

Seorang lagi pembeli, Rokiah Mohamad, 46, pula kecewa ke­rana impiannya untuk memiliki rumah sendiri lebur ekoran sikap tidak bertanggungjawab syarikat pemaju terbabit.

“Sepatutnya kami boleh menduduki rumah ini pada 2018, tetapi janji tinggal janji walaupun sudah masuk empat kali raya Aidilfitri.

“Usia pun sudah hampir 50 tahun. Saya masih menaruh harapan dapat memiliki rumah sendiri sebelum bersara,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI