fbpx

Tiada jaminan Newcastle terselamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WOOD (kiri) berjaya menyempurnakan sepakan penalti untuk menghadiahkan kemenangan buat Newcastle ke atas Wolves di St. James Park awal pagi semalam. – AFP

LONDON – Pengurus Newcastle United, Eddie Howe belum merasakan kemenangan 1-0 ke atas Wolverhampton Wande­rers di St. James Park awal pagi semalam meletakkan kelab itu di kedudukan lebih selamat.

Kemenangan itu menyaksikan The Magpies melonjak ke tangga ke-14 dengan 34 mata selepas 31 perlawanan, berkelebihan 10 mata daripada Burnley yang berada dalam zon penyingkiran.

Begitupun, Howe, 44, menegaskan anak-anak buahnya tidak boleh cepat bergembira, sebaliknya perlu bekerja lebih keras kerana masih tiada sebarang jaminan Newcastle mampu kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

“Keputusan ini adalah sesuatu yang cukup penting, namun sudah pasti kami juga masih ba­nyak kerja yang perlu dilakukan. Kami tidak mahu menoleh ke belakang dan terus melihat ke depan untuk aksi seterusnya.

“Kami akan cuba memaksimumkan setiap perlawanan yang dihadapi. Lebih melegakan apabila perlawanan seterusnya akan berlangsung di gelanggang sendiri,” katanya.

Pembelian Chris Wood dari Burnley pada Januari lalu de­ngan yuran perpindahan bernilai £25 juta (RM285.77 juta) mula menampakkan hasil apabila penyerang New Zealand itu muncul wira menewaskan Wolves awal pagi semalam.

Wood meledak gol tunggal perlawanan selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-72 selepas jaringannya dalam babak pertama dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

“Terlalu banyak tekanan dipikulnya tetapi dia dapat menyudahkan penalti dengan baik. Dia mahu memikul tanggungjawab dan sa­ya gembira kerana dia berjaya meledak ja­ringan pertama bersama Newcastle,” jelas Howe. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI