MILAN – AC Milan ketika ini berada pada landasan tepat untuk menamatkan kemarau 11 tahun tanpa merangkul kejuaraan Scudetto apabila saingan Serie A musim ini cuma berbaki tujuh perlawanan lagi.
The Rossoneri berpeluang melebarkan penguasaan mereka di puncak Serie A dengan kelebihan empat mata ke atas pencabar utama yang berada di kedudukan kedua, Napoli jika menang ke atas Torino awal pagi esok.
Ia disebabkan Napoli berkemungkinan besar boleh tercicir mata apabila menentang Fiorentina malam ini memandangkan kedua-dua pasukan juga sedang berusaha memburu slot ke pentas Eropah musim depan.
Ketua jurulatih Milan, Stefano Pioli mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak melakukan sebarang kesilapan selepas membuang dua mata berharga ketika seri tanpa jaringan dengan Bologna minggu lalu.
“Kami telah mencuba sedaya upaya untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu gol dalam perlawanan itu, tetapi malangnya, ia tidak berlaku ketika menentang Bologna.
“Saya tidak mahu para pemain tertekan, tetapi sekarang semuanya bergantung kepada mereka sendiri sama ada mahu memenanginya ataupun tidak (gelaran Scudetto).
“Pasukan-pasukan lain sedang mengejar. Jika kami tidak lakukan kesilapan dan manfaatkan setiap peluang apabila bertemu Torino, peluang kami pastinya lebih cerah,” katanya.
Milan tidak pernah gagal menewaskan Torino apabila menang semua empat perlawanan berdasarkan rekod pertemuan sepanjang tahun lalu. – AGENSI