TAMPIN – Sejak lapan tahun lalu, Gomok Tepung Pelita di Bazar Ramadan Tampin, di sini menjadi tarikan pengunjung pelbagai bangsa apatah lagi air tangan tiga beranak itu hanya boleh dirasai ketika Ramadan.
Erizal Darani, 42, berkata, walaupun sambutan dan permintaan yang diterima sangat menggalakkan, namun mereka hanya mampu menyediakan maksimum 2,000 biji tepung pelita sehari.
“Untuk menyiapkan bekas menggunakan daun pandan menelan masa lebih lima jam.
“Setiap hari saya dan anak sulung, Mohd. Aieril Ilham, 17, akan membuat bekas itu, manakala isteri pula, Farawayu Shahidan, 41, akan membuat tepung pelita.
“Alhamdulillah, hari pertama bazar Ramadan dibuka hampir 2,000 biji tepung pelita habis dalam masa sejam sahaja,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, Farawayu berkata, setiap hari dia memerlukan 10 kilogram (kg) santan dan tepung 5kg untuk menghasilkan tepung pelita berlemak, tidak terlalu cair dan sedap dan itu merupakan rahsia rezeki ‘killer’ buat mereka sekeluarga. -KOSMO! ONLINE