PUTRAJAYA – Kerajaan Arab Saudi akhirnya mengumumkan pelaksanaan ibadah haji kini dibuka kepada jemaah luar negara bagi musim haji tahun ini.
Perkara itu dikongsi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Idris berkata, beliau sudah meminta Lembaga Tabung Haji (TH) supaya memaklumkan segera kepadanya sebaik kuota haji negara diberi kelulusan oleh kerajaan Arab Saudi.
“Pada sidang akhbar sebelum ini, saya sudah jelaskan bahawa bakal jemaah haji negara sudah bersiap sedia serta hanya tinggal untuk mendapatkan kuota dan segalanya pasti akan dijalankan dengan paling baik.
Berita berkaitan: Arab Saudi umum 1 juta kuota jemaah haji
“Dua tahun adalah satu tempoh yang cukup lama bagi mereka yang rindukan bumi haram untuk menunaikan tanggungjawab rukun islam yang penuh hikmah,” katanya.
Idris berkata, pastinya berita tersebut benar-benar menggembirakan semua umat Islam yang telah menantikan dengan penuh sabar untuk melaksanakan ibadah rukun Islam ke lima itu.
“Dan jaminan untuk melaksanakan ibadah haji ternyata semakin bersinar dengan pengumuman daripada Kerajaan Arab Saudi.
“Sesungguhnya kepastian untuk menunaikan ibadah haji ini cukup memberi makna kepada kita semua,” ujar beliau. -KOSMO! ONLINE