GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak perempuan maut apabila tercampak keluar daripada kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu ibunya yang terbabas di Kilometer 79, Jalan Gua Musang-Lojing dekat Pos Brooke di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa, Tuan Nur Amani Izzati Tuan Khairul Azhar, 9, disahkan meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Pos Brooke di sini kira-kira tiga jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, ibunya, Norfatihah Mustapha, 32, memandu MPV jenis Perodua Alza bersama mangsa dan dua lagi adiknya, Tuan Nur Afina Najwa, 1, dan Tuan Nur Akifa Naila, 6.
Menurutnya, MPV itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Tanah Rata, Cameron Highlands menghala ke Pos Brooke.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, ibu mangsa dipercayai mengantuk dan keadaan tersebut menyebabkan MPV dipandu suri rumah itu terbabas ke bahagian kiri jalan sebelum masuk ke dalam longkang.
“Insiden itu mengakibatkan Tuan Nur Amani Izzati yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar sebelum masuk ke dalam longkang yang bertakung air,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Choon Foo, siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa dijumpai dengan kepalanya berada di dalam longkang tersebut. -KOSMO! ONLINE