fbpx

Rusia ugut Finland hancur sekiranya sertai NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perdana Menteri Finland, Sanna Marin masih mempertimbangkan segala kemungkinan sebelum membuat keputusan mengenai NATO. -AFP

MOSCOW – Seorang wakil rakyat Rusia memberi amaran kepada Finland mengenai impak serius yang bakal diterima sekiranya Helsinki memilih untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Vladimir Dzhabarov berkata, Finland akan menjadi sasaran Kremlin yang seterusnya dan keanggotaan dalam NATO akan menjamin kemusnahan negara tersebut.

Dzhabarov menyifatkan keputusan yang silap akan menyebabkan situasi di Ukraine turut berlaku di Finland.

“Jika kepimpinan Finland nekad meneruskan niat menjadi anggota NATO, ia akan menjadi satu kesilapan strategik.

“Finland yang berjaya membangun selama ini hasil hubungan perdagangan dan ekonomi yang erat dengan Rusia akan menjadi sasaran seterusnya. Penyertaan dalam NATO akan mengakibatkan tragedi kepada seluruh rakyat  Finland,” katanya.

Beliau juga yakin Finland tidak akan menandatangani kad NATO untuk kemusnahan negara mereka.

Dalam pada itu, minat Finland untuk menyertai NATO selepas sekian lama menjadi negara berkecuali meningkat selepas perang melanda Ukraine.

Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto berkata, polisi itu akan dijelaskan dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Beliau juga memaklumkan bahawa NATO telah menawarkan jaminan keselamatan semasa proses permohonan keahlian.

NATO dijangka  mengambil masa dari empat bulan hingga satu tahun untuk meluluskan permohonan Finland sekiranya perkara itu berlaku.

Perdana Menteri Finland, Sanna Marin berkata, pilihan sama ada menyertai NATO atau sebaliknya adalah keputusan yang mempunyai impak yang tersendiri.

‘Kita perlu menilai kedua-dua kesan jangka pendek dan panjang. Pada masa yang sama, kita mesti ingat matlamat kita adalah demi memastikan keselamatan Finland dalam semua situasi,” tegasnya.

Katanya, hubungan Finland dengan Rusia berubah kepada sesuatu yang sukar dipulihkan selepas serangan Moscow  ke atas Ukraine.

Finland berkongsi sempadan sepanjang 1,340 kilometer dengan Rusia sekali gus paling panjang berbanding mana-mana negara  Kesatuan Eropah (EU). – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI