JOHOR BAHRU – Majoriti warga Singapura yang berkunjung ke Malaysia khususnya di negeri ini akur dengan larangan untuk tidak mengisi minyak petrol jenis RON95 yang dikuat kuasa kerajaan Malaysia.
Salah seorang daripada warga Singapura yang dikenali sebagai Nazrul, 38, berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk mengikuti peraturan itu kerana faham RON95 melibatkan subsidi kerajaan untuk rakyat.
“Saya tahu, petrol RON95 hanya untuk warga Malaysia, jadi memang saya isi RON97 apabila berkunjung ke negara ini.
“Walaupun saya akui perbezaan harga itu menggoda untuk berbuat demikian tetapi ia satu tindakan yang melanggar undang-undang, kita berkunjung ke negara orang jadi biarlah ikut undang-undang tempatan.
“Sebagai rakyat Singapura, saya juga pastinya mahu rakyat Malaysia yang datang ke sana mengikut undang-undang tempatan, jadi saya juga perlu berbuat demikian apabila ke sini,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi warga Singapura, Syafik Ahmad, 31, pula mengakui dia pernah beberapa kali mengisi minyak jenis RON95 kerana tidak tahu perbuatan itu adalah salah di sisi undang-undang Malaysia.
“Saya mengaku, sebelum sempadan Malaysia-Singapura ditutup, saya pernah mengisi RON95 apabila berada di negara ini, tetapi apabila dimaklumkan seorang rakan bahawa itu adalah salah, saya tidak mengulanginya,” kata juruteknik tersebut.
Kelmarin, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, tindakan penguatkuasaan berhubung isu itu hanya boleh diambil terhadap pengusaha stesen minyak dan bukannya warga Singapura.
Sementara itu, tinjauan di beberapa stesen minyak di sekitar bandar raya ini mendapati majoriti warga Singapura mengisi minyak RON97 dan RON100.