MANCHESTER – Cristiano Ronaldo tidak terkesan dengan kenyataan bekas rakan sepasukannya, Wayne Rooney, sebaliknya bersemangat untuk membantu Manchester United meraih kemenangan ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park malam ini.
Ronaldo, 37, menjelaskan dia memiliki tiga perkara penting yang sedang dilakukannya ketika ini di sebalik kenyataan Rooney yang mencadangkan The Red Devils supaya melepaskan khidmat kapten Portugal itu.
Selain berusaha meletakkan semula United dalam kelompok empat terbaik untuk mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara, Ronaldo juga gigih memberikan semangat dan sokongan padu kepada rakan sepasukannya untuk tampil lebih baik.
Bukan itu sahaja, Ronaldo adalah seorang bintang bola sepak dengan kualiti tersendiri, terutama dari segi kemampuan menangani segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya.
“Kerja keras, setiap hari perlu berikan fokus kepada tujuan sebenar, nikmati detik-detik bersama rakan-rakan. Sesi latihan yang hebat bersama Diogo Dalot. Teruskan berjuang,” kata Ronaldo selepas memuat naik kenyataan gambar dalam laman sosial Instagram miliknya.
Jika melihat semula kepada perjalanannya, kehebatan Ronaldo tidak perlu diragui lagi kerana pencapaian yang telah diraih dalam karier profesionalnya sudah pun membuktikan semuanya.
Sebelum ini, Rooney berpendapat United perlu melihat lebih ke depan dengan menggunakan pemain yang lebih muda untuk tempoh dua atau tiga tahun akan datang.
“Ronaldo menjaringkan banyak gol penting termasuk di Liga Juara-Juara awal musim ini, malah dia juga meledak hatrik ke atas Tottenham (Hotspur).
“Jika melihat kepada masa depan kelab, United perlu ada pemain lebih muda yang dahagakan kejayaan,” jelas Rooney. – AGENSI