PETALING JAYA – Demi ibu tercinta, pelawak, Achey menangguhkan semua urusan untuk berada di ibu tersayang, Ngaisah Hassan yang kini ditempatkan Hospital Besar Segamat, Johor.
Kata Achey atau nama sebenarnya, Mohd. Nasir Hamzah, sekarang dia hanya mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kesihatan ibunya yang tidak menentu.
“Maaf rakan-rakan media tak dapat nak menjawab semua pertanyaan. Saya masih fokus kepada kondisi emak yang sentiasa berubah-ubah.
“Jika ada ruang masa untuk tuan puan semua, dapatlah mendoakan kekuatan mak saya,” katanya menerusi Instagram.
Sementara itu, isterinya, Nur Hassanah Yahya atau Anne memaklumkan, ibu mentuanya yang sudah mencecah 74 tahun itu berada dalam keadaan kritikal namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai penyakitnya.
Semalam, Achey memuat naik satu video yang menunjukkan dirinya dalam perjalanan pulang ke kampung di Johor. Dia bergegas balik kampung sebaik menerima perkhabaran mengenai ibunya yang sebelum ini kerap keluar masuk hospital.
“Kami tangguhkan dahulu kerja-kerja yang ada. Kesihatan mak merosot. Doakan mak saya semoga baik-baik. Mak kuat. Insya-Allah,” tulisnya dengan ringkas.
Pada Jun tahun lalu, Ngaisah pernah dimasukkan ke wad berpunca daripada masalah di saluran pankreas yang juga dikatakan penyakit jarang dijumpai hingga menyebabkan berat badannya susut lebih 20 kilogram. – KOSMO! ONLINE