KUALA LUMPUR – Seawal pukul 6.30 pagi, sebilangan sukarelawan Masjid Wilayah Persekutuan bersama pasukan Salera Duta Katering memulakan persiapan menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada orang ramai sepanjang Ramadan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, aktiviti agihan bubur lambuk merupakan program tahunan masjid yang bertujuan menyemarakkan lagi kehangatan di bulan yang mulia ini.
Katanya, setiap hari masjid akan menyediakan 1,000 bungkus bubur lambuk dan sebanyak 500 bungkus diagihkan secara pandu lalu kepada orang ramai, manakala 500 lagi disediakan sebagai juadah berbuka puasa.
“Kelainan tahun ini kita buat agihan secara pandu lalu yang bertujuan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan bubur lambuk yang pihak masjid sediakan.
“Selain itu, kaedah ini antara yang terbaik bagi menjimatkan masa dan juga ruang terutamanya ketika negara masih berlawan dengan virus Covid-19,” katanya ketika ditemui di Program Agihan Bubur Lambuk di sini hari ini.
Tambah Mohd. Ajib, beliau mengalu-alukan sumbangan orang ramai yang ingin bersama-sama membantu dalam menyediakan juadah berbuka buat orang ramai.
“Orang ramai yang nak buat sumbangan boleh terus ke masjid atau hubungi pengurusan masjid untuk sama-sama bantu menyediakan juadah berbuka.
“Dan mungkin dengan sumbangan tersebut, akan datang kita boleh tambahkan bilangan bubur lambuk serta penambahan menu yang lain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE