CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan bahawa kerja baik pulih menara telekomunikasi di daerah Telupid, Sabah yang terbakar pada 25 Mac lalu sedang dilakukan secara berperingkat.
MCMC dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum dan bersimpati mengenai kisah seorang pelajar semester enam yang terpaksa memandu sejauh 10 hingga 15 kilometer demi mencari liputan internet dan belajar dalam bonet kereta selepas insiden kebakaran itu.
Insiden tersebut turut menjejaskan liputan internet di beberapa kawasan berhampiran Pekan Telupid.
“MCMC bersama pihak penyedia perkhidmatan sedang berusaha membaik pulih menara tersebut secara berperingkat.
“Sehingga kini, perkhidmatan Digi telah pulih dan beroperasi seperti biasa, manakala bagi perkhidmatan Celcom dan Maxis pula dijangka pulih dan beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi,” kata kenyataan itu hari ini.
MCMC pada masa sama menasihatkan kepada semua pelajar dan masyarakat setempat agar sentiasa mementingkan keselamatan diri.
“Sebagai langkah sementara, penduduk setempat boleh mengunjungi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang berada di Pekan Telupid untuk mendapatkan liputan internet di tempat yang lebih selamat dan selesa.
“Ia sehingga proses baik pulih selesai dijalankan dan menara telekomunikasi tersebut beroperasi seperti biasa tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, kisah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berdepan kesukaran untuk mengikuti Pembelajaran Jarak Jauh (ODL) selepas menara telekomunikasi di daerah Telupid, Sabah terbakar menjadi tular di platform media sosial.
Anis Arina Aqilah Roslee, 23, yang kini berada di semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial memberitahu, sejak kejadian itu, dia terpaksa memandu keluar dari kampungnya bagi mencari talian telekomunikasi dan internet.
Gadis berkenaan juga pernah memandu sejauh 130 kilometer bagi mendapatkan liputan internet kerana perlu mengikuti kelas secara dalam talian.