KREDIBILITI dan kemantapan Aina Abdul sebagai penyanyi dan komposer tidak perlu lagi diperkenalkan kepada umum.
Berilah apa jua lagu, lontaran vokal dengan gaya penyampaiannya tersendiri pasti akan membuatkan penonton tidak berkelip mata.
Selepas muncul dengan beberapa karya berunsurkan cinta dan kasih sayang sesama manusia, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani membuat satu anjakan terhadap jalur karyanya.
Dia memilih untuk tampil dengan sebuah single baharu berkonsepkan kerohanian berjudul CahayaMu.
Ujar penghibur berusia 28 tahun itu, sudah lama hasrat untuk menghasilkan sebuah lagu ketuhanan tersimpan dalam hati dan kini dia bersyukur apabila impian tersebut sudah terlaksana.
“Sudah lama sebenarnya saya teringin untuk ada sebuah single berunsur kerohanian dan ketuhanan. Saya sendiri memang sukakan lagu-lagu sebegitu.
“Malah saya juga ada beberapa idola dalam menyampaikan lagu-lagu kerohanian seperti Opick dan Maher Zain.
“Begitu juga dengan lagu-lagu ketuhanan dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza yang terdapat dalam album Tahajjud Cinta,” katanya.
Jiwa kosong
Selain menunjukkan variasi muzik, pemenang vokal terbaik Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) itu menyifatkan penghasilan lagu kerohanian sebagai peringatan untuk diri sendiri supaya tidak terlalu lalai ketika berhibur sehingga mengabaikan tanggungjawabnya untuk beribadah.
“Bekerja sebagai anak seni selalu tidak ikut masa. Kadangkala bekerja sehingga lewat malam. Saya selalu terpanggil untuk hasilkan sebuah lagu yang boleh menceritakan tentang situasi tersebut.
“Bila saya menulis dan menyanyikan lagu itu, ada perasaan yang akan timbul,” jelasnya.
Ujar Aina lagi, disebabkan terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga perlu bekerja sehingga lewat malam, dia juga sering terkejar-kejar dalam mengerjakan solat dan mengakui sering terlambat.
“Itu yang saya alami. Dalam lirik lagu CahayaMu, saya ada tulis sebagai manusia, saya rasa jiwa saya kosong. Saya menghiburkan orang, tapi dalam diri sendiri, saya mencari sesuatu untuk melengkapkan,” tutur penyanyi Sumpah itu penuh makna.
Kecantikan
Dalam perkembangan lain, Aina bersyukur dan tidak menyangka wajahnya akan terpampang di papan iklan (billboard) di beberapa lokasi di Malaysia selepas menjadi jurucakap untuk produk kecantikan, Truskin oleh Trulooks.
Sejujurnya, Aina tidak pernah terfikir akan menjadi duta sebuah produk kecantikan kerana sedar diri, dia sendiri mengalami masalah kulit berjerawat.
Semua itu bagi Aina, ibarat tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.Bermula sebagai pengguna produk Aina terus menjadi wajah pilihan syarikat tersebut.
“Saya gembira kerana dapat meneruskan kerjasama dengan Trulooks bagi tempoh setahun lagi.
“Bukan sahaja produk ini berkualiti, malah pihak Trulooks juga sering memudahkan tugas saya sebagai wajah jenama ini.
Bangga
Kegembiraan Aina berganda selepas wajahnya juga terpampang di papan iklan digital bersaiz gergasi di Times Square, New York Amerika Syarikat selepas dipilih menjayakan kempen Equal oleh penstriman digital, Spotify.
Aina tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan bangga dengan pencapaian tersebut yang disifatkan sebagai sangat berharga.
“Kejayaan ini merupakan kerjasama bersama syarikat pengedaran saya, Believe Music. Mungkin ada yang tahu dan mungkin ada yang tak tahu, saya bekerjasama dengan Believe Music untuk mengeluarkan lagu-lagu saya.
“Bermula dengan lagu Reminiscing dan Shadow, semuanya diedarkan oleh Believe Music. Jadi bersama Believe Music, saya pun turut terpanggil untuk membabitkan diri menerusi kempen Equal. Saya dipanggil untuk isi borang.
“Alhamdulillah, akhirnya saya dipilih bulan ini sebagai salah seorang duta untuk kempen Spotify. Jadi saya sangat bersyukur sebab berasakan kempen ini, sangat baik kerana dapat mengetengahkan bakat wanita di dalam bidang muzik terutama dari Asia,” katanya.
Tidak pernah melupakan, Aina turut menitipkan penghargaan buat peminat tegar, Ainations yang sentiasa memberikan sokongan terhadapnya.
“Terima kasih kepada Ainations yang menjadikan pengalaman ini nyata serta menyeronokkan,” kongsinya lagi.