PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MOF) berharap fasa peralihan ke endemik berupaya membantu dan menyokong semula pemulihan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kebenaran pengeluaran one-off Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Bantuan Khas Kewangan pula akan memberi kelegaan kepada aliran tunai rakyat.
Beliau berkata, pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu juga membuka peluang kepada ekonomi negara untuk bangkit semula, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan semua.
“Dengan dasar-dasar positif kerajaan, Keluarga Malaysia akan bangkit semula, lebih gagah dan lebih berdaya saing berbanding dahulu.
Bank Dunia dan Moody’s mempamerkan keyakinan kepada prospek pertumbuhan Malaysia tahun ini dengan masing-masing mengunjurkan pertumbuhan 5.5 peratus dan 6 peratus bagi tahun 2022. Unjuran ini sejajar dengan unjuran Bank Negara Malaysia antara 5.3 hingga 6.3 peratus,” katanya menerusi Laporan Kewangan Rakyat Ke-91, hari ini.-KOSMO! ONLINE