KLANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan penyeludupan minuman keras dan organ haiwan sejuk beku bernilai keseluruhan RM1.71juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar daerah ini.
Serbuan dilakukan antara 11 hingga 30 Mac lalu di Pelabuhan Utara, Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan kawasan Klang.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kejayaan itu hasil risikan bahagian penguat kuasaan JKDM Zon Tengah Unit II Selangor dengan kesemua minuman keras dirampas seberat 30,105.89 liter dan jumlah duti cukai yang terlibat dianggarkan RM1,702, 684.21.
Katanya, serbuan pertama membabitkan sebuah kontena sebelum diteruskan di sebuah premis yang tidak berpenghuni dan gudang di PKFZ.
“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan pengimport, ejen perkapalan dan pemilik premis dan dagangan yang terlibat dalam kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya turut berjaya mengagalkan sindiket penyeludupan organ haiwan sejuk beku iaitu frozen fish skin dan frozen beef bone membabitkan empat buah kontena di Pelabuhan Utara.
Ujar Abdul Latif, anggaran kuantiti rampasan sebanyak 97,000 kilogram dengan nilai rampasan berjumlah RM 861,400 selain menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) dan (1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE