PETALING JAYA – Usahawan selebriti, Datuk Seri Vida menyelar netizen yang menuduhnya membezakan taraf sesama insan hanya disebabkan tidak makan semeja dengan pembantu rumah ketika berbuka puasa.
Katanya, video pendek menikmati kemanisan iftar seisi keluarga dijadikan isu seolah-olah pihak berkenaan tidak mempunyai aktiviti selain daripada mencari kesilapannya.
“Yang mengejutkan saya, tiba-tiba video story durasi 15 saat itu viral di TikTok dengan ‘caption’ Bibik Makan Meja Lain, Tak Setaraf.
“Eh awak ni kan tak kerja sampai nak cari pasal kutuk saya. Apa masalah bibik makan tak semeja dengan saya. Awak nak suruh dia duduk atas riba saya?
“Saya bagi bibik makan, waktu saya makan juga. Waktu berbuka mereka makan di meja sana, saya makan di meja sini dengan tenangnya,” luahnya menerusi hantaran di Instagram.
Pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu mengakui terpaksa memberi penjelasan mengenai keadaan sebenar selepas ia ditularkan.
Video yang dikongsi menerusi Insta Story itu dimuatnaik pula seorang individu dalam aplikasi TikTok yang mempersoalkan tindakan jutawan kosmetik itu duduk di meja berasingan sambil menjadikan lagunya, Ku Ikhlaskan sebagai latar.
Disertakan kapsyen ‘kenapa maid DSV berbuka berasingan? Adakah disebabkan taraf?’, video tersebut mencetuskan perang pendapat dalam kalangan warga maya.
Jelas Vida lagi, perkara tersebut bukan satu masalah namun sengaja diperbesarkan sedangkan pembantu rumahnya tidak makan berseorangan, sebaliknya ditemani kakaknya sendiri.
“Saya tak fahamlah, lagi pun bibik (panggilan kepada pembantu) makan dengan kakak saya, Mok Jah. Macam satu keluarga,” tambahnya.
Vida juga sempat meninggalkan pesanan kepada mereka yang suka berkongsi kandungan media sosial supaya lebih bertanggungjawab untuk elak cetus fitnah.
“Saya faham zaman sekarang orang nak viral sampai sanggup buat ‘content’ sebegini tanpa usul periksa sehingga mengundang fitnah dan kecaman.
“Kalau tak ada perkara baik yang nak dikongsikan dan diperkatakan, lebih baik diam,” tegasnya lagi.
Sementara itu, menerusi hantaran lain penyanyi Ku Ikhlaskan itu memperkenalkan pembantu yang sudah setahun bekerja di rumahnya sambil menyatakan tidak pernah sekali pun membuli pekerjanya itu. – KOSMO! ONLINE