fbpx

Kerajaan jamin subsidi haji diteruskan walaupun kos meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh SOFIAN BAHAROM

PUTRAJAYA – Kerajaan memberi jaminan bahawa pemberian subsidi kepada jemaah haji akan diteruskan meskipun kos menunaikan ibadah tersebut tahun ini dijangka meningkat hingga RM25,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum kadar kos bayaran yang akan ditanggung jemaah ditentukan.

“Nanti kita akan umumkan (kos), malah (kuota haji) semua negara belum diumumkan lagi, sepatutnya (Arab Saudi) maklumkan sebelum Ramadan, tapi mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu, kita tunggu.

“Subsidi akan tetap kita bagi, namun tidak boleh umum lagi, kita akan bincang dengan TH dalam masa terdekat, nanti akan diputuskan Kabinet dan diumum kemudian,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu, TH semalam dilaporkan menjangka kos untuk jemaah Muassasah menunaikan ibadat haji pada tahun ini (1443H/2022M) akan meningkat kepada lebih RM25,000 untuk seorang.

Perkara itu susulan peningkatan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan kerajaan Arab Saudi dan kos untuk mengerjakan haji bagi jemaah Muassasah pada 2019 ialah RM22,900.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI