Oleh SOFIAN BAHAROM
PUTRAJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sehingga Februari lalu telah mengagihkan bantuan perubatan kepada 1,736 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,396,959.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, bantuan di bawah Skim Bantuan Perubatan itu merupakan satu daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan MAIWP.
“Melalui skim ini, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mereka yang berkelayakan.
“Di antara bantuan yang disalurkan di bawah skim ini adalah bantuan heamodialisis, peralatan kesihatan, perubatan am dan kanak-kanak khas orang kurang upaya (OKU),” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Idris memaklumkan MAIWP akan meneruskan sumbangan kepada 12 buah hospital yang akan menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.03 juta. – KOSMO! ONLINE