PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan inisiatif membantu persiapan persekolahan anak-anak keluarga berpendapatan rendah (B40) bagi sesi persekolahan 2022 melalui Program Ceria Ke Sekolah (CKS).
Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, kira-kira 5,000 murid di 55 kawasan di seluruh negara menerima bantuan tersebut yang diserahkan secara berperingkat.
“Kepada sesetengah keluarga, pemberian keperluan asas persekolahan ini barangkali kecil nilainya. Namun ia amat bermakna kepada kebanyakan keluarga yang sedia ada tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, apatah lagi terkesan pula dengan pandemik Covid-19,” katanya.
Tambahnya, Seramai 1,254 murid di Pahang termasuk di Rompin, Jelai, Bera, Cameron Highlands, Kuantan, Temerloh, Bentong dan Raub menerima bantuan keperluan asas persekolahan tersebut seperti pakaian seragam, kasut, beg dan alat tulis pada tahun ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, TNB telah membantu meringankan beban 67,241 buah keluarga dari 395 kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan melibatkan kos sebanyak RM10.5 juta sejak pelaksanaan program tersebut pada tahun 2013 hingga 2021.
Menurutnya, bantuan kelengkapan sekolah ini adalah sebahagian daripada agenda TNB dalam bidang pendidikan, terutamanya untuk golongan kurang berkemampuan sejajar dengan komitmen memperkasakan pendidikan generasi pewaris serta membangunkan modal insan negara.
“Sebagai warga korporat prihatin, kami di TNB mencurahkan bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pendidikan, atas keyakinan bahawa ia boleh membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, termasuk keluar daripada putaran ganas kemiskinan dalam jangka masa panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE