KUALA LUMPUR – Sebanyak tiga buah premis hiburan di sekitar ibu negara dikenakan kompaun sebanyak RM70,000 selepas didapati melanggar Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB), Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 2021.
Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur, Datuk Azman Ayob berkata, kesemua premis hiburan tersebut didapati telah melakukan aktiviti terlarang dalam pub dan kelab malam.
“Sebanyak sembilan kompaun telah dikeluarkan terhadap pengunjung di premis pertama, 31 kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di premis kedua dan 27 kompaun dikeluarkan terhadap pengunjung di premis ketiga.
“Polis turut mengeluarkan tiga kompaun terhadap pemilik premis hiburan dengan nilai keseluruhan kompaun berjumlah RM70,000,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azman Ayob memberitahu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang masih dikuatkuasakan demi mengurangkan penularan jangkitan wabak tersebut.
“Jika terdapat sebarang maklumat pelanggaran SOP terutama di premis hiburan, orang ramai boleh menyalurkan maklumat tersebut melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) yang boleh dimuat turun menerusi telefon.
“Polis Kuala Lumpur amat menghargai sebarang bentuk maklumat daripada anda demi kesejahteraan masyarakat bersama,” ujarnya. KOSMO! ONLINE.