Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
JOHOR BAHRU – Seorang warga emas wanita bukan sahaja disamun oleh sekumpulan lelaki yang memecah masuk rumahnya malah dicederakan mereka menggunakan kerusi besi hingga menyebabkan bengkak di bahagian belakang kepala, lebam di tangan kanan dan mata bengkak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi, wanita berusia 60an itu sedang bersendirian di rumahnya di Taman Pelangi, di sini sebelum didatangi suspek dalam insiden pada 22 Ogos lalu.
Perbuatan kejam geng pecah rumah itu mendapat balasan mereka apabila ketiga-tiga suspek berkenaan berusia lingkungan 24 hingga 39 tahun diberkas polis dalam tiga serbuan berasingan kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, bertindak atas maklumat, kira-kira pukul 6 petang, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah D9 telah membuat serbuan di sekitar bandar raya ini.
“Ekoran tangkapan ini, polis merampas empat unit telefon bimbit, kunci kereta, sekeping surat kontrak jual beli dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik suspek yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan samun.
“Hasil soal siasat awal, kesemua suspek mengaku terlibat dalam kejadian pecah rumah dan samun di Taman Pelangi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Padzli berkata, kumpulan tersebut dipercayai baru sebulan terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan samun.
Katanya, semakan rekod mendapati dua daripada suspek berkenaan mempunyai rekod lampau bagi kes jenayah, dadah dan lain-lain kesalahan jenayah.
“Polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes jenayah boleh salurkan dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS 07-2182323,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.-K! ONLINE