KUALA LUMPUR- Seramai 68 individu ditahan Polis semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Pertahan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 66 individu telah dikompaun manakala 2 individu direman.
“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk ingkar perintah PKPD (21), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (18), tidak memakai pelitup muka (18), penjarakan fizikal (6), gagal melunaskan bil kuarantin (3), serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (2),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, seramai 120 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong berjaya ditahan dalam Op Benteng, selain tiga kapal dan empat kenderaan darat berjaya dirampas.
“Daripada jumlah itu, di Pengkalan Kubor, Kelantan, pihak Polis berjaya menahan 9 PATI kerana memasuki Malaysia melalui laluan yang tidak sah.
“Di Teluk Penawar, Bandar Penawar, Johor, pasukan Angkatan Tentera Malaysia telah berjaya menahan lima PATI kerana tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.
Tambah Ismail, Kerajaan akanmengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.
Sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 29,438 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 72 hotel dan lapan premis lain. -K! ONLINE