HASRAT skuad futsal kebangsaan untuk melangkah ke pusingan separuh akhir Kejohanan Futsal AFF tidak kesampaian selepas tewas 2-4 kepada Thailand pada aksi terakhir Kumpulan B di Stadium Huamark, Thailand kelmarin.
Ketua jurulatih futsal kebangsaan, Chiew Chun Yong mengakui masih banyak ruang perlu diperbaiki oleh pasukannya jika mahu tampil lebih garang di pentas antarabangsa akan datang khususnya Sukan SEA Hanoi, Vietnam bulan depan.
“Secara keseluruhan saya lihat pemain telah menunjukkan peningkatan prestasi daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Memang jelas ada kelemahan yang kita lakukan pada kejohanan kali ini.
“Namun, saya harap barisan pemain dapat menunjukkan kematangan dan rentak lebih konsisten di atas gelanggang pada saingan akan datang kerana kejohanan di pentas antarabangsa memiliki intensiti yang cukup tinggi,” katanya.
Keputusan tersebut sekali gus menyaksikan skuad negara terpaksa berpuas hati dengan enam mata selepas mengharungi empat perlawanan dengan kemenangan hanya diraih ketika bertemu Kemboja dan Brunei.
Mengulas lanjut, Chun Yong turut memuji prestasi pada aksi terakhir ketika bertemu skuad Gajah Perang itu dengan memberi kesukaran buat pasukan lawan untuk merekodkan kemenangan mudah.
“Saya puas hati dengan komitmen pemain yang berusaha mengekang asakan Thailand yang kita tahu memiliki kualiti tersendiri khususnya dalam penguasaan bola.
“Namun, saya tidak salahkan pemain kerana ada beberapa keputusan pengadil juga wajar dipertikai. Inilah lumrah yang perlu kita hadapi dan saya harap kita dapat belajar daripada pengalaman kali ini,” katanya.
Pada saingan Sukan SEA 2021 nanti, skuad negara akan menentang pasukan Thailand, Vietnam, Indonesia dan Myanmar dalam saingan yang akan dilangsungkan dengan format liga sepusingan bermula 11 hingga 20 Mei depan.