KAJANG – Impian pembeli unit rumah pangsapuri kos rendah di bawah projek Rumah Selangorku di sini, untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri di kediaman baharu tidak kesampaian apabila projek berkenaan masih gagal disiapkan sehingga ke hari ini.
Seorang pembeli, Muhamad Arif Badrin, 31, berkata, pemaju projek Rumah Selangorku yang terletak berhampiran Penjara Kajang itu pernah berjanji kepada pembeli bahawa mereka akan dapat menduduki pangsapuri enam tingkat berkenaan sebelum Disember 2019.
“Mula-mula mereka janji sebelum 1 Disember 2019, kemudian janji akan siap bulan Mac tahun lalu, namun hingga hari ini (semalam) belum juga siap.
“Saya kecewa kerana sudah beberapa kali hasrat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga di rumah baharu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Muhamad Arif berkata, kelewatan projek tersebut turut menyebabkan dia terpaksa menampung komitmen yang tinggi setiap bulan.
Menurutnya, sejak tahun 2020, dia perlu membayar RM168 kepada bank dan dalam masa sama perlu juga membayar rumah sewa yang dihuni sekarang iaitu sebanyak RM550 sebulan.
“Baru-baru ini pemaju berjanji projek akan siap pada Jun tahun ini, tetapi kami takut janji hanya tinggal janji,” katanya.
Abdul Hadi Yusof, 31, pula berkata, terdapat 200 unit rumah bagi projek Rumah Selangorku tersebut dengan setiap unit berharga RM42,000.
Menurut beliau, projek itu pada asalnya bagi membantu golongan B40 untuk memiliki rumah pada harga mampu milik dan perjanjian jual beli (S&P) mula ditandatangani pada 2018.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang tinggi, kelewatan projek ini menambahkan lagi bebanan kewangan kami.
“Kami berharap permasalahan kami dapat perhatian pihak terlibat termasuk kerajaan negeri,” katanya.
Seorang lagi pembeli, Abdul Rahim Abdul Kadir, 43, berkata, beliau ketika ini perlu membayar kira-kira RM300 sebulan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk unit rumah yang dibeli.
“Saya harap rumah ini dapat disiapkan tahun ini dan dalam keadaan sempurna untuk dihuni,” katanya.
Sementara itu, Kosmo! difahamkan oleh sumber pemaju bahawa projek tersebut sebenarnya bukan projek terbengkalai dan pembinaannya masih giat dijalankan.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 2020 dimaklumkan, pembinaan pangsapuri kos rendah itu mengalami kelewatan disebabkan kerja mengalihkan kabel dan paip syarikat utiliti yang berada dalam tapak pembinaan.