fbpx

Marquez kembali berlumba di Austin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARQUEZ akan menggegarkan GP Amerika Syarikat hujung minggu ini.

LONDON – Juara enam kali Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP), Marc Marquez mendapat ‘lampu hijau’ untuk turun berlumba semula pada Grand Prix (GP) Amerika Syarikat hujung minggu ini selepas masalah mata dialami pelumba Sepanyol itu dikatakan beransur pulih.

Marquez sebelum ini disahkan mengalami masalah diplopia buat kali ketiga dalam kariernya susulan kemalangan ngeri yang dialami di Litar Mandalika, Lombok pada GP Indonesia pertengahan bulan lalu.

Kecederaan tersebut menyebabkan Marquez tidak diturunkan menyertai perlumbaan GP Indonesia dan GP Argentina hujung bulan lalu apabila perlu meneruskan proses pemulihan kecederaan matanya.

Honda dalam satu kenyataan menjelaskan, Marquez sudah mendapat kelulusan daripada pasukan perubatan untuk turun bersaing di Litar The Americas, Austin hujung minggu ini.

“Sudah tentu saya sangat gembira untuk kembali. Ini adalah satu perasaan yang hebat apabila dapat kembali melakukannya di salah satu litar kegemaran saya.

“Tidak kira apa jua keadaan sekalipun, saya sangat seronok untuk kembali bersaing di Texas kerana saya mempunyai kena­ngan yang luar biasa di litar ini.

“Saya perlu bekerja lebih keras selepas terlepas GP Indonesia dan GP Argentina. Buat masa ini, saya tidak mahu meletakkan sebarang sasaran.

“Banyak perkara yang perlu dilakukan dan dipertimbangkan tetapi apa yang penting ialah saya akan kembali beraksi pada hujung minggu ini,” kata Marquez. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI