SEKITAR dua dekad lalu, kumpulan muzik remaja, Boboy pernah mencetuskan fenomena dan menjadi kegilaan para remaja.
Biarpun kumpulan muzik yang diberi nama Boboy sekitar awal tahun 2000 itu perlu bersaing dengan beberapa kumpulan muzik remaja lain seperti New Boys dan Q-Face, masing-masing mempunyai kelompok peminat tersendiri.
Selepas beberapa tahun meraih populariti luar biasa, nama Boboy yang terkenal dengan lagu Episod Cinta ciptaan Awang BPR itu tiba-tiba lenyap daripada radar industri seni hiburan.
Boboy yang dianggotai Naqiu sebagai vokalis, Shah (gitar utama), Muz (gitar kedua), Didi (bass) dan Dzul (dram) yang ketika itu masih di bangku sekolah, ghaib dan dikhabarkan membawa haluan masing-masing.
Sekitar dua tahun lalu, vokalis mereka, Naqiu atau nama lengkapnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36, membuat kemunculan semula dengan menjuarai pertandingan Gegar Vaganza musim keenam (GV6), sekali gus mengungkit kembali memori peminat terhadap kumpulan Boboy.
Hanya selepas 21 tahun, buat pertama kalinya Boboy kembali bergabung di atas sebuah pentas untuk membuat persembahan dalam program Konsert Minggu Ini (KMI) terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Bergabung
Sebagai penyanyi utama, Naqiu tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila akhirnya dia bersama anggota kumpulan yang lain bersatu semula di atas satu pentas untuk membuat persembahan. Bahkan, impian tersebut sebenarnya sudah lama disimpan sejak menyertai GV6 lagi.
Alhamdulillah. Saya gembira dan bersyukur apabila berpeluang untuk membuat kemunculan semula bersama Boboy.
“Terus terang, pada hari pertama saya buat persembahan dalam GV6, saya memang ada niat untuk membawa bersama Boboy untuk buat kemunculan semula. Saya terharu sebab susah payah saya panggil mereka akhirnya ‘berbayar’,” kata Naqiu.
Kata penyanyi itu, kali terakhir Boboy muncul membuat persembahan pentas bersama dalam program televisyen adalah pada tahun 2002 menerusi program Hiburan Minggu Ini (HMI).
“Sebelum saya menyertai GV6, ramai peminat tanya bila kami mahu kembali bergabung dan menghasilkan lagu baharu.
“Walaupun sudah lebih 20 tahun menyepi, masih ramai peminat menanti dan berharap agar Boboy kembali bergabung bersama.
“Ketika saya masuk GV6, memang terdetik untuk menghidupkan semula Boboy. Mereka jugalah yang memberi saya semangat dan galakan untuk sertai GV6,” katanya.
Krisis
Mengungkit semula punca pengunduran Boboy daripada industri, Naqiu berkata, anggota kumpulan Boboy tidak pernah bergaduh, sebaliknya krisis berputik berpunca daripada dirinya sendiri.
“Kami tidak bergaduh, tapi lebih kepada krisis saya dengan diri sendiri. Ketika itu saya sendiri yang ambil keputusan untuk tidak lagi aktif menyanyi.
“Jadi apabila ahli kumpulan lain lihat saya tidak mahu menyanyi, mereka pun ambil keputusan untuk tidak lagi aktif dan membawa haluan sendiri,” katanya.
Ujar Naqiu lagi, ahli kumpulan lain turut sepakat untuk mengundurkan diri kerana menganggap kumpulan Boboy tidak akan lengkap tanpa kehadirannya sebagai vokalis utama.
“Jadi, masing-masing pun carilah karier lain dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Bagi mereka, untuk apa nak teruskan perjalanan muzik ini kalau saya memilih untuk tidak mahu aktif lagi,” jelas Naqiu.
Jenama Boboy
Naqiu bagaimanapun terharu apabila ahli kumpulan yang dianggap sebagai abang-abangnya itu tidak pernah terfikir untuk menubuhkan kumpulan lain tanpanya.
“Itu yang membuatkan saya terharu dan hormat kepada mereka. Abang-abang saya ini tidak pernah terfikir untuk tubuhkan kumpulan lain walaupun saya telah mengambil keputusan untuk tidak lagi menyanyi,” katanya.
Bersedia untuk membuat kemunculan semula, Naqiu bersama ahli kumpulannya kini agak dilema sama ada untuk mengekalkan nama asal kumpulan mereka iaitu Boboy atau mencari nama baharu yang lebih sesuai dengan usia kini.
“Sekarang kami sedang mempertimbangkan untuk buat penjenamaan semula kumpulan atau kekal dengan nama Boboy. Kalau kekalkan nama, rasa seperti tidak sesuai pula dengan usia kami sekarang.
“Tapi kalau diberi penjenamaan semula, rasa sayang pula sebab kami dikenali peminat kerana nama Boboy. Tunggulah nanti bagaimana,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Boboy merancang menghasilkan single baharu selepas Aidilfitri sebagai hadiah buat peminat setia.