PETALING JAYA – Rasa rindu paling sakit adalah rindu terhadap orang tersayang lebih-lebih lagi pada anak yang dijaga sejak kecil bagai ‘menatang minyak yang penuh’.
Baru-baru ini, tular sebuah video seorang bapa meraung kesedihan kerana terlalu rindukan anaknya yang telah lama tidak pulang ke rumah.
Lebih menyedihkan adalah lelaki tersebut turut memaklumkan anaknya sanggup menyekat nombor telefonnya di aplikasi WhatsApp kerana enggan dihubungi oleh bapanya itu.
Meskipun cuba untuk mengawal emosi, namun perasaan lelaki tersebut seperti tidak tertanggung sehingga dia meluahkan segalanya melalui tangisan.
“Ya Allah, rindunya yang teramat sangat, kenapa sanggup lupakan abah anakku,” luahnya.
Sementara itu, lelaki berkenaan berkongsi cerita apabila isterinya telah meminta untuk berpisah ketika dirinya sedang koma selama 53 hari sebelum ini akibat masalah jantung sejak 2014.
Sejak detik itu, dia mengakui dirinya dihalang untuk berjumpa dengan anaknya sehingga mereka terputus hubungan.
Tambahnya, setelah anak meningkat dewasa, mereka sendiri bertindak untuk menjauhkan diri daripadanya sehingga membuatkan dia terlalu rindukan kasih sayang anak-anak.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai yang menonton video tersebut merasa sedih dan kasihan dengan nasib yang menimpa seorang bapa itu.
“Ya Allah pak cik, sebak saya macam ini,” komen Haikal.
“Ya Allah lembutkanlah hati anak-anak abah ini, supaya terbuka hati anak-anaknya untuk pulang bertemu abah,” ujar Amiena. – KOSMO! ONLINE