fbpx

Didenda RM5,000 pindah 25 ekor kambing tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Soma Sumdaram (kanan) sejurus dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di Seberang Perai hari ini. /FOTO IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang penternak didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini selepas didapati bersalah memindahkan 25 ekor kambing tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar bulan lalu.

Tertuduh, C. Soma Sumdaram, 62, sebelum itu membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Harith Mohd. Mazlan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 25 ekor kambing jantan hidup menggunakan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Jalan Machang Bubok, Bukit Mertajam, di sini kira-kira pukul 5.40 petang pada 2 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000.

Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, bapa kepada empat orang anak itu ketika membuat rayuan memohon maaf atas kesalahan itu dan meminta hukuman diringankan memandangkan ia adalah kesalahan pertama sepanjang terbabit dalam bidang penternakan lembu dan kambing sejak kira-kira 45 tahun lalu.

Tertuduh turut merayu supaya lori miliknya dipulangkan semula berikutan ia adalah kenderaan yang digunakannya untuk mencari rezeki.

Selain denda tersebut, mahkamah memerintahkan hasil jualan ternakan berkenaan sebanyak RM7,500 dilucut hak, manakala lorinya dipulangkan semula sejurus membayar denda. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI