SERDANG – Empat lelaki diberkas bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki dalam kejadian di hadapan kedai makan di Jalan BS 6/8, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A Anbalagan berkata, kesemua suspek yang berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan di Jalan Songket, Taman Maznah, Klang, hari ini.
“Sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback menggunakan nombor pendaftaran palsu yang dipercayai digunakan semasa kejadian turut dirampas.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku terbabit dalam kes tersebut dan turut mengaku ia berpunca daripada rasa tidak puas hati sehingga menimbulkan dendam ke atas mangsa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kesemua suspek yang berasal dari Seri Kembangan itu mempunyai rekod jenayah lampau, salah seorangnya berkaitan dadah.
“Bagaimanapun hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati kesemua suspek negatif dadah,” ujarnya.
Tambah beliau, semua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 12 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki berusia 30 tahun ditemui mati disyaki dibunuh di hadapan sebuah kedai makan di Jalan BS 6/8 Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada Ahad lalu. – KOSMO! ONLINE