PELUANG skuad gimnastik artistik wanita negara untuk mempertahankan empat pingat emas menjelang temasya Sukan SEA Hanoi, Vietnam tampak sukar selepas Filipina menghantar barisan atlet naturalisasi dari Amerika Syarikat (AS).
Ketua jurulatih gimnastik artistik wanita negara, Ng Shu Wai berkata, pihaknya sedar akan cabaran dari Filipina, namun tetap yakin anak buahnya mampu memberi saingan cukup hebat meskipun menghantar muka baharu ke temasya dwitahunan tersebut.
Skuad gimnastik artistik wanita menghantar muka-muka baharu susulan ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan Tracie Ang membuat keputusan untuk bersara.
“Pada edisi 2019, kita berjaya membawa pulang empat pingat emas menerusi Farah Ann dan Tracie. Jadi disebabkan ketiadaan mereka berdua, kita hanya menghantar atlet junior untuk dapat pengalaman.
“Sasaran kita pada Sukan SEA kali ini sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas. Saya akui saingan kali ini tidak mudah kerana kita dimaklumkan bahawa Filipina menghantar empat atlet yang berpangkalan di Amerika Syarikat bertanding Sukan SEA kali ini.
“Meskipun kita menyenaraikan Farah Ann sekali pun, saya jangka bukan mudah untuk menang ke atas Filipina kerana mereka menghantar skuad terbaik mereka di Hanoi nanti.
“Sepanjang lima tahun saya dalam skuad, ini adalah paling sukar. Meskipun bukan satu tugas mudah tetapi saya yakin skuad negara mampu melakukan terbaik, sekali gus membawa pulang emas,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di Majlis Sukan Negara (MSN) semalam.
Pengurus skuad gimrama negara, Toh Ai Lee berkata, pasukannya menyasarkan untuk menyampu bersih dua pingat ditawarkan dalam acara individu serta rutin berpasukan.
“Edisi kali sedikit sengit kerana hanya dua acara dipertandingkan, jadi sukar untuk membuat penilaian kerana kesemua atlet kita terutama acara individu berpotensi raih emas. Saya harap meskipun hanya dua acara dipertandingkan, skuad gimrama negara mampu menyapu bersih dua pingat emas,” katanya.