fbpx

Bahasa Melayu perlu nakhoda dan kelasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa. - GAMBAR HIASA
MUHAMMAD FIRDAUS FAHMI JUNAIDI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

 

MUDIK nakhoda tanpa kelasi umpama rumah tanpa tiang ke­rana kedua-duanya saling memerlukan. Begitu juga dengan u­saha pengantarabangsaan bahasa Melayu yang dibangkitkan baru-baru ini akan dipandang sepi jika tidak disahut rakyat Malaysia.

Usaha ke arah memartabatkan bahasa Melayu juga sudah lama dijalankan, namun sejauh mana ia sudah diperkasakan.

Bahasa Melayu berpera­nan­ dalam pembentukan negara Malaysia berasaskan tiga kedudukan utama iaitu bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Sebagai bahasa kebangsaan, ia menjadi salah satu asas jati diri rakyat dan negara serta menjadi unsur perpaduan berbilang kaum.

Perdana Menteri baru-baru ini mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi membolehkan DBP mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelanggaran bahasa Melayu.

Pengumuman itu diumpamakan seperti memberi harapan baharu kepada masa depan bahasa Melayu apabila tugas pe­nguatkuasaan bakal digalas oleh mereka yang lebih mahir tanpa menidakkan kuasa kerajaan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercita-cita mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN terutamanya apabila lebih 300 juta penduduk di rantau itu menggunakannya sebagai bahasa pertuturan.

Tindakan pemimpin negara itu diharapkan bukan sahaja menjadi dorongan kepada rakyat untuk menambah baik penggunaan bahasa Melayu, malah dijadikan sebagai alat yang berfungsi untuk memperluas penggunaannya di serata dunia.

Bagaimanapun, antara per­soalan yang timbul adakah harapan Perdana Menteri untuk memperluaskan pengantarabangsaan bahasa Melayu seiring dengan tindakan yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia.

Tanggungjawab seorang nakhoda atau pemimpin dalam meneraju sesebuah negara dianggap cukup berat, namun akan menjadi lebih ringan apabila setiap kelasi (lapisan masyarakat) berganding bahu dengan turut sama melakukan perkara yang sepatutnya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Kuliah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Kampus Pagoh, Dr. Mohamad Suhaizi Suhaimi menyifatkan bahawa pindaan akta berkenaan adalah tindakan yang sangat tepat.

“Perlu diakui bahawa sesuatu perkara sebaiknya diuruskan oleh ahlinya maka DBP adalah pihak yang mahir dalam perkara ini.

“Ini bertepatan dengan Per­kara 152 Perlembagaan Persekutuan apabila DBP ditugaskan untuk menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan di Malaysia.

“Kepentingan pindaan akta berkenaan membolehkan campur tangan DBP dalam penggunaan bahasa Melayu diperkukuhkan termasuk mengelak daripada campur tangan pihak yang tidak berkaitan sehingga timbulnya keculasan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut beliau, semua warga­ Malaysia berperanan dalam memartabatkan bahasa Me­layu melalui dua cara iaitu yang pertama melalui lisan dengan ­mengakui bahawa bahasa Me­layu adalah bahasa kebangsaan atau bahasa negara tanpa me­ngira kaum.

“Yang kedua pula adalah me­lalui tindakan iaitu memper­kasa penggunaan bahasa Melayu dengan menambah ilmu mengenainya. Rakyat hendaklah tidak memperlekeh dan pemper­tikai penggunaan Bahasa Melayu tetapi­ perlu menggunakannya de­ngan betul dan baik.

“Misalnya, ada sesetengah pihak cuba mempertikaikan apabila pihak DBP mengeluarkan istilah baharu seperti ‘tuna foto’. Apabila tiada ilmu, maka ada segelintir masyarakat akan mempersendakannya,” jelasnya.

Ulas beliau lagi, Malaysia merupakan satu negara yang unik kerana tidak mengetepikan penggunaan bahasa lain termasuk Mandarin, Tamil dan sebagainya, tetapi pada masa yang sama tidak menafikan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI