MALAYSIA terus memburu kemenangan pertama pada kempen Piala Dunia Hoki Remaja Wanita yang sedang berlangsung di Potchefstroom, Afrika Selatan selepas gagal melakukannya dalam tiga aksi Kumpulan D.
Terbaharu, skuad projek khas negara tewas 0-4 kepada India di Stadium NWU malam kelmarin sekali gus menamatkan aksi Kumpulan D di tangga keempat dengan hanya meraih satu seri dan dua kekalahan.
India kendalian Erik Wonink berjaya meraih empat gol menerusi ledakan hatrik Mumtaz Khan pada minit ke-10, 26 dan 59 selain satu daripada Sangita Kumari (m-11).
Situasi itu menyebabkan Malaysia dijadualkan menentang pasukan tempat ketiga Kumpulan C, Uruguay untuk aksi klasifikasi tengah malam ini bagi menentukan kedudukan tempat kelapan hingga 15 kejohanan.
Ketua jurulatih projek khas negara, Nasihin Nubli Ibrahim melihat situasi itu dalam sudut positif dan memuji persembahan ditampilkan anak-anak buahnya selepas mengharungi tiga perlawanan.
“Pemain telah berusaha keras dan memberikan aksi terbaik mereka tetapi India pasukan yang sangat bagus.
“Saya gembira kerana pemain menunjukkan peningkatan dalam setiap perlawanan. Saya harap kami dapat mengambil aspek positif untuk dibawa ke perlawanan seterusnya,” katanya.
Sebagai rekod, ini adalah penampilan pertama Malaysia di pentas Piala Dunia Hoki Remaja Wanita sejak kejohanan itu mula dianjurkan di Ottawa, Kanada pada 1989. – KOSMO! ONLINE