MANCHESTER – Pengurusan tertinggi Manchester United sudah memulakan langkah untuk melengkapkan barisan kejurulatihan bagi kempen musim depan dengan menawarkan kontrak kepada bekas pengurus England, Steve McClaren sebagai penolong jurulatih baharu.
Bagaimanapun, keputusan itu hanya akan dibuat sekiranya United berjaya mendapatkan khidmat pengendali Ajax Amsterdam, Erik ten Hag bagi saingan musim depan.
Ia secara tidak langsung memberi bayangan bahawa The Red Devils sudah semakin hampir untuk mengikat Ten Hag bagi mengisi kekosongan jawatan pengurus yang ketika ini diisi sementara waktu oleh Ralf Rangnick.
Situasi itu disebabkan hubungan akrab antara kedua-dua individu tersebut selepas mereka pernah bekerjasama ketika McClaren menjadi pengendali kelab Belanda, FC Twente dengan Ten Hag selaku penolong jurulatihnya pada musim 2008/2009.
Pengurusan tertinggi United percaya McClaren adalah individu paling tepat untuk menjadi ‘orang kanan’ kepada Ten Hag berdasarkan sejarahnya yang pernah dilantik sebagai pembantu Sir Alex Ferguson ketika era kegemilangan The Red Devils dari 1999 hingga 2001.
McClaren yang kini sudah berusia 60 tahun mengakui, United mengambil keputusan tepat untuk melantik Ten Hag selaku pengurus baharu kerana beliau mampu membawa kejayaan yang diharapkan kepada pasukan.
“Semua orang tahu kualiti yang ada pada Ten Hag dan saya juga cukup mengenalinya secara peribadi selepas bekerjasama ketika membimbing FC Twente sebelum ini.
“Kelebihan utamanya sudah tentu dalam mencungkil bakat pemain-pemain muda.
“Itulah yang dilakukan sewaktu bersama Ajax dengan mengetengahkan bakat-bakat muda seperti Hakim Ziyech (kini bersama Chelsea) dan terkini, Anthony.
“Malah, dia juga pernah menuntut ilmu dengan Pep Guardiola ketika menjadi penolong jurulatih Bayern Munich. Jika United tidak segera mendapatkan khidmatnya, kelab-kelab gergasi Eropah yang lain akan berbuat demikian,” katanya. – AGENSI